'Kematian kucing di UM akibat gigitan haiwan liar' - Polis - The Reporter

‘Kematian kucing di UM akibat gigitan haiwan liar’ – Polis

Sumber Gambar: Eizairi Shamsudin Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Tiada unsur penderaan dikesan pada empat daripada lima kucing yang ditemui mati di dalam kampus Universiti Malaya (UM).

Hasil bedah siasat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan kematian kucing-kucing tersebut berpunca daripada gigitan haiwan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob, menjelaskan bahawa polis menerima lima laporan mengenai penemuan bangkai kucing pada 17, 20, 21, dan 25 Disember lalu.

Bedah siasat mendapati dua bangkai kucing yang ditemui pada 17 Disember lalu, kematiannya berpunca daripada gigitan haiwan dipercayai serangan anjing, tiada unsur penderaan.

“Bedah siasat untuk dua bangkai kucing yang ditemui pada 20 dan 25 Disember lalu juga tidak menemukan sebarang unsur penderaan manusia pada kedua-dua bangkai kucing terbabit.

“Punca kematian dua kucing itu akibat kecederaan parah pada bahagian toraks atau dada yang mengakibatkan luka dan pendarahan di bahagian jantung seterusnya menyebabkan kekurangan darah serta kegagalan sistem peredaran darah,” katanya.

Tambahnya, bangkai kucing dari 20 Disember menunjukkan kecederaan pada tiga kaki dengan kesan koyakan dan tulang patah tidak sekata, manakala bangkai dari 25 Disember mengalami patah tulang rusuk kiri dan koyakan pada jantung akibat tusukan tulang rusuk yang patah dan terdapat tiga luka koyakan yang berbeza pada bahagian perut.

Setakat ini katanya, 11 individu termasuk pensyarah, pelajar, polis bantuan, aktivis haiwan, dan doktor veterinar telah memberikan keterangan. Bagi kes kelima, bangkai kucing diserahkan kepada DVS untuk bedah siasat, dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan serta Akta Kebajikan Haiwan.

Menurut Azry, tiada rakaman CCTV menunjukkan kejadian tersebut, hanya kehadiran sekumpulan anjing liar berhampiran lokasi kejadian. Pihak polis dan DVS sedang berbincang dengan pihak universiti mengenai langkah menangani isu anjing liar.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan disarankan menyalurkan maklumat ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!