Keluarga mangsa tanah runtuh Batang Kali, saman Kerajaan Selangor | The Reporter

Keluarga mangsa tanah runtuh Batang Kali, saman Kerajaan Selangor

saman tragedi tanah runtuh Batang Kali

Keluarga dan mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada tahun 2022 telah menyaman kerajaan Selangor dan enam pihak lain kerana didakwa cuai dan gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menyebabkan tragedi itu berlaku.

Selain kerajaan negeri, antara yang dinamakan dalam saman itu ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor. Turut disaman ialah tiga syarikat iaitu BL Agro Sdn Bhd, Malaysia Botanical Gardens Resort Sdn Bhd dan Infrasel Sdn Bhd.

Dalam saman tersebut, seramai 23 plaintif menuntut ganti rugi untuk kerosakan harta benda, kecederaan, kehilangan pendapatan, serta kematian. Mereka juga memohon ganti rugi am, teruk, dan kerugian tidak ketara seperti tekanan emosi dan kesakitan.

Jumlah ganti rugi khas yang dituntut ialah sebanyak RM1.22 juta, bersama faedah tambahan sebanyak 2.5 peratus. Faedah ini dikira dari tarikh tragedi berlaku, iaitu 16 Disember 2022, sehingga keputusan mahkamah dibuat.

Menurut writ saman, BL Agro dan Malaysia Botanical Gardens Resort bertanggungjawab sebagai pengusaha dan pemilik tapak perkhemahan yang terlibat dalam tragedi itu. Tanah tersebut didakwa digunakan secara komersial walaupun sepatutnya untuk tujuan pertanian.

Kerajaan Selangor turut disaman kerana bertanggungjawab ke atas JKR Selangor, MPHS, dan PKPS.

Tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku pada 16 Disember 2022 telah mengorbankan 31 orang.

Sebelum ini, salah seorang mangsa yang terselamat, Wong Wai Foong berkata, laporan yang dikeluarkan mengenai kejadian tersebut tidak menyelesaikan isu keselamatan tapak itu, namun ia menolak sebarang unsur kecuaian manusia dalam tragedi tersebut.

Sumber: Berita Harian

Related Posts