Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perbuatan agresif seorang kelindan lori terhadap pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima balasan apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.
Lapor Harian Metro, tertuduh, R Jegatheswaren, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, minggu lalu.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kejadian berlaku pada 10 Januari lalu di Jalan Desa Palma ketika pegawai JPJ menjalankan operasi. Lori yang membawa barangan lusuh ditahan kerana pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh dan pemandu yang tidak memiliki lesen GDL sah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata situasi menjadi kecoh apabila suspek bertindak di luar kawalan.
“Dia menunjukkan isyarat lucah, menampar muka pegawai JPJ, dan mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya.
Polis berjaya menahan suspek pada malam yang sama di Taman Maju Jaya. Siasatan mendapati dia mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes mencuri dan memiliki barangan curi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Nabila Hamzah.








