Kehilangan seorang lelaki terjawab apabila beliau ditemui lemas di Sungai Pahang berdekatan tangki air Kampung Pasir Panjang,Pekan, Pahang.
Mohd Suffian Abu Bakar,ditemui terapung oleh penduduk kampung kira-kira jam 9.35 pagi pagi semalam (Selasa).
Kakak mangsa dilaporkan telah membuat pengecaman dan mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa berdasarkan pakaian serta tanda pada badannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur mencurigakan pada tubuh badan si mati dan mengklasifikasikan kematian sebagai ‘Drowning’.
“Mayat telah diserahkan kepada pihak keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj pada Ahad lalu.
Mangsa tidak membawa apa-apa barang keperluan ketika keluar dari rumah. Kali terakhir dilihat memakai baju warna ungu, seluar slack berwarna coklat, berkopiah putih dan selipar hitam.
Sumber: Sinar Harian