Kebakaran di Baling disyaki ada unsur khianat | The Reporter

Kebakaran di Baling disyaki ada unsur khianat

Sumber Gambar: Harian Metro

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis mengesahkan kebakaran yang melibatkan 10 rumah di daerah Baling pada 24 Disember lalu disyaki mempunyai unsur khianat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, pada awalnya kebakaran itu dianggap biasa. Namun, hasil siasatan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menunjukkan ia mempunyai elemen khianat.

“Kebakaran bermula dari sebuah motosikal pada jam 3.30 pagi sebelum merebak ke rumah penduduk,” katanya.

Susulan itu juga, polis telah memeriksa 13 individu di kawasan sekitar lokasi kejadian. Daripada jumlah itu, lapan orang ditahan untuk membantu siasatan. Salah seorang suspek yang ditahan juga disyaki terlibat dalam kes pecah tabung masjid di Kuala Ketil.

Lima daripada mereka didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah hasil siasatan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling. Dua lelaki lagi disyaki menjadi tokan dadah dan memiliki bahan tersebut.

“Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun dan merupakan penduduk tempatan. Siasatan masih dijalankan, dan kes pecah tabung masjid di Kuala Ketil telah berjaya diselesaikan,” kata Azmi.

Lima individu disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi disiasat di bawah Seksyen 39A dan Seksyen 39B akta yang sama.

Selain itu, polis membuka kertas siasatan berkaitan unsur khianat dalam kebakaran tersebut.

Terdahulu, penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang melaporkan kebakaran berturut-turut di enam lokasi sejak hujung bulan lalu. Kejadian tersebut kebanyakannya melibatkan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah, dengan api turut merebak hingga menyebabkan kereta dan rumah terbakar.

Berikutan itu juga, umat Islam terutama di Baling diminta mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan dan keamanan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts