Kanak-kanak perempuan maut akibat tersepit meja lipat di Nibong Tebal | The Reporter

Kanak-kanak perempuan maut akibat tersepit meja lipat di Nibong Tebal

kanak-kanak maut tersepit meja lipat
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan maut selepas tersepit pada besi meja lipat di rumah sewa keluarganya di Taman Seri Putera, Nibong Tebal, petang semalam.

Kejadian tragis itu berlaku sekitar jam 4.15 petang ketika mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah, sedang bermain sendirian di bahagian belakang rumah.

Mangsa ditemui oleh abangnya dalam keadaan tersepit sebelum keluarganya mendapatkan bantuan jiran untuk membawa mangsa ke Hospital Parit Buntar, Perak.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam tadi akibat pembengkakan otak yang disebabkan kekurangan oksigen (celebral edema due to asphyxia) berdasarkan laporan bedah siasat.

“Laporan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk memastikan keselamatan anak-anak di rumah sentiasa terjamin bagi mengelakkan tragedi seumpama ini.

Jenazah Nur Aqifah telah dituntut oleh keluarganya di hospital pada tengah hari tadi dan dibawa ke Masjid Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal untuk solat jenazah. Mangsa dikebumikan selepas solat Zuhur.

Sumber: Harian Metro

Related Posts