Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Tragedi menimpa sebuah keluarga yang bercuti di sebuah ladang agro apabila seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun cedera parah akibat digigit kuda. Kejadian itu menyebabkan cuping telinga mangsa putus selain mengalami kecederaan di kepala.
Bapa mangsa, Suhaimi Mohd Rafi, 31, berkata anak lelakinya kini stabil tetapi trauma dan masih menerima rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang. Mereka sekeluarga dari Kemaman, Terengganu bercuti di ladang tersebut pada 19 Januari selepas selesai urusan di Kuala Lumpur.
Menurut Suhaimi, anaknya pada mulanya mahu melihat dan bergambar dengan kuda. “Penjaga kuda memaklumkan ia boleh ditunggang dengan bayaran tiket. Saya benarkan anak menunggang kuda sambil dikawal penjaga,” katanya ketika dihubungi.
Setelah selesai menunggang, mereka dipelawa masuk ke kawasan berpagar untuk bergambar bersama kuda. Namun, ketika anaknya kembali mendekati kawasan kandang untuk mengambil gambar, seekor kuda tiba-tiba menggigit telinga mangsa.
“Kuda itu juga menghantuk kepala anak saya pada besi kandang, menyebabkan kepalanya cedera dan cuping telinga kiri terputus,” katanya.
Dalam keadaan cemas, Suhaimi segera membawa anaknya ke hospital swasta di Seremban untuk rawatan. Pembedahan dilakukan pada malam kejadian dan selesai sekitar jam 1 pagi dengan kos rawatan mencecah RM10,400.
Anaknya dirawat selama tiga hari di hospital berkenaan sebelum meneruskan rawatan susulan di Kuantan. Menurut Suhaimi, pihak ladang agro berjanji akan memberikan pampasan atas kejadian ini.
“Saya dituduh cuai kerana membenarkan anak mendekati kuda, tetapi pekerja di situ benarkan kami masuk dan menyatakan kawasan itu selamat,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian