Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan disahkan maut dipercayai akibat penderaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 3.46 petang selepas mangsa dibawa ke klinik dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pemeriksaan mendapati mangsa tidak bernafas, tiada bacaan oksigen, tidak memberi reaksi dan tiada degupan jantung.
Menurutnya, pemeriksaan fizikal turut menemukan kesan lebam dan luka di dada kiri serta kedua-dua paha, selain bengkak pada paha kanan.
“Terdapat juga gelembung air pada betis kanan yang berkemungkinan menunjukkan jangkitan kuman,” katanya.
Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun, termasuk bapa angkat mangsa, bagi membantu siasatan. Kesemua suspek direman selama enam hari hingga 19 April ini.
Baca juga:
- Jururawat ‘off duty’ selamatkan wanita tercekik raih pujian
- ‘Kabinet kecam keras kenyataan didakwa hina sahabat Nabi’ – Fahmi
- RTM tamatkan siaran di Astro mulai 1 Julai ini
Menurut Azli, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah komplikasi iskemia anggota badan akut, dipercayai berpunca daripada kecederaan patah tulang paha yang menekan otot serta salur darah utama, sekali gus menyebabkan komplikasi serius akibat tidak menerima rawatan segera.
Difahamkan, mangsa baru tiga bulan tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Banggol Katong.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Utusan








