Tular di media sosial semalam, video sebuah ‘premis’ didakwa beroperasi secara terbuka dan menyamai jenama restoran antarabangsa, Kentucky Fried Chicken (KFC).
Berdasarkan nama, logo dan warna premis, ia kelihatan sama dengan jenama KFC. Bagaimanapun, pemilik ‘premis’ berkenaan tampil membuat penafian dan menjelaskan dia hanya sekadar membuat klon konsep.
“Hari ini viral pasal KEXFC, bising pasal logo seakan KFC. Memang konsep kat rumah, saya buat klon konsep. KEXFC macam KFC, Cafe Amanda macam Cafe Amazon.
“Tapi kami tak buat jual. Memang untuk suka-suka buat dekat rumah. Bila ada saudara, kawan atau jiran datang, memang inilah tempat memasak dan buat air.
“Cuma brand KEXFC akan kami keluarkan di pasaran. Tapi dengan branding yang sudah di trademark. Di pasaran, akan ada perubahan sedikit. Kex tu nama saya, FC tu Fun Club.
“Di rumah saya pun, saya letak vending machine. Saya pun tengah nak (buat) kedai klon 7 Eleven, tukar kepada 7 Anak.
“Jadi apa pun, maafkan saya. Itulah kisahnya,” katanya.
Tinjauan di media sosial mendapati, netizen tidak bersetuju dengan tindakannya itu yang dilihat boleh mengundang kepada kemudaratan dirinya.
“Sudahlah KFC pun kena tmepias boikot sekarang ni. Memang ringan tangan la nak saman. Ingat kat mahkamah boleh spin macam tu je? Elok duit boleh buat modal, jadi duit bayar saman,” kata James Bon.
Difahamkan, ada segelintir netizen telah menghantar aduan kepada pihak KFC untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, salah seorang kakitangan MyIPO turut menasihatkan lelaki berkenaan membuat jenamanya sendiri tanpa meniru jenama sedia ada.
“Sebagai staf yang bekerja di MyIPO, saya nasihatkan untuk owner itu buat branding sendiri. Walaupun tidak sama seperti jenama tersebut (KFC), tetapi ianya hampir serupa.
“Baik ubah sebelum sampai ke pihak tersebut dan mereka ambil tindakan,” katanya.
Sumber: X, Facebook Shukex