Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Penduduk Kampung Air Kuning, Kuala Pilah kini merayu perhatian pihak berwajib untuk membina jambatan sementara setelah jambatan utama mereka rosak akibat banjir pada 16 November 2024.
Jambatan tersebut merupakan laluan penting bagi penduduk untuk keluar masuk kampung, namun hingga kini tiada tindakan konkrit diambil.
Wakil penduduk kampung, Ilmi Nadzeri, menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan tindakan pihak berwajib, yang dilihat lebih memberi tumpuan kepada kawasan bandar besar.
Menurutnya, kerosakan jambatan itu menyukarkan aktiviti harian penduduk termasuk murid sekolah, warga emas, ibu mengandung, dan golongan bekerja.
Surat rasmi yang dihantar kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Pilah pada 18 November 2024 menyatakan, lebih 73 rumah dengan seramai 185 penduduk terjejas akibat kerosakan tersebut. Antara yang terkesan ialah 23 murid sekolah, tujuh warga emas, lima ibu mengandung, dan 150 orang dewasa bekerja.
“Kami bimbang jika berlaku kecemasan seperti kemalangan atau ibu bersalin, ambulans dan bomba akan menghadapi kesukaran untuk masuk ke kampung ini. Situasi ini sangat membimbangkan,” kata Ilmi.
Penduduk kampung berharap pihak berwajib mengambil langkah segera untuk membina jambatan sementara, kerana akses alternatif yang selamat tidak wujud buat masa ini. Kekurangan ini bukan sahaja menyukarkan pergerakan harian tetapi juga membahayakan keselamatan penduduk jika berlaku situasi kecemasan.
Penduduk turut menyeru agar pihak berkaitan lebih peka terhadap keperluan kampung pedalaman seperti mereka, yang sering dipinggirkan ketika bencana berlaku. – The Reporter