“Kenapa Allah tunjukkan jalan macam ni? Kakak tak kuat,” demikian persoalan dan rintihan seorang kanak-kanak perempuan pesakit kanser.
Video yang dikongsikan oleh ibunya itu mula tular dan meruntun hati ramai.
Ibunya yang dikenali sebagai Allysha Aida kemudiannya cuba memujuk anaknya dengan memberikan kata-kata semangat. Namun, si anak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu berterusan menyoal dan memberitahu keadaan dirinya.
“Kakak dah tak tahan ibu…Kakak tak kuat. Sakit badan, sakit semua….,”katanya.
Dia juga menyuarakan keinginan untuk kembali seperti dulu, dan ibunya memberi keyakinan padanya keadaan akan kembali seperti dulu bila dia kembali sihat.
Menerusi hantaran di TikTok Allysha Aida juga, dia berkongsikan video ketika menggunting rambut anaknya sehingga botak.
“Selalu aku tengok video orang, hari ni aku berpijak di tempat mereka. Hati memang sebak tapi tak dia Nampak ibu sedih sebab aku tempat dia berpaut,” tulisnya.
Video yang sudah meraih 2.1 juta tontonan itu sangat terkesan di hati ramai dan mendoakan agar kedua-dua mereka dipermudahkan segala urusan.








