Kementerian Kewangan Malaysia telah mengumumkan peningkatan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada RM1,200, naik daripada RM600 tahun lalu. Bantuan ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 22 Januari.
Program Sara kini diperluas untuk merangkumi golongan miskin, bukan hanya golongan miskin tegar. Kredit program Sara juga diperluas untuk membeli barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, bukan hanya makanan asas.
Walau bagaimanapun, bantuan Sara untuk golongan bujang masih kekal pada RM600.
Manfaat 700,000 penerima
Dengan penambahbaikan ini, program Sara dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima pada tahun 2024 dengan peruntukan RM700 juta, meningkat lima kali ganda daripada tahun lepas.
Pelaksanaan Sara akan bermula pada 22 Januari untuk penerima di Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula pada 19 Februari 2024.
Bagi penerima di Semenanjung Malaysia, bantuan Sara akan disalurkan setiap bulan, iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tanpa pasangan, dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.
Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan, bantuan Sara akan disalurkan dua kali setahun, iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tanpa pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari dan 12 Ogos melalui pengkreditan ke akaun bank secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara.
Sumber: Kosmo! Online