Jurucakap Rumah Putih puji Trump atas kejayaan rundingan damai Thailand-Kemboja di Putrajaya
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt mencetuskan reaksi meluas selepas menyatakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump wajar dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan atas peranannya dalam kejayaan rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang dimeterai di Putrajaya pada Isnin.
“Presiden Trump yang menjayakan rundingan ini. Beri beliau Hadiah Nobel Keamanan!” tulis Leavitt menerusi satu hantaran di platform X, bersama tangkap layar laporan media yang merujuk rundingan berkenaan sebagai “rundingan yang disokong AS”.
Rundingan tersebut berlangsung di Seri Perdana dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN tahun ini. Ia turut dihadiri oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Menurut kenyataan bersama, rundingan itu turut dianjur bersama oleh AS dengan penyertaan aktif kerajaan China.
Baca juga:
- Pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh kereta depan surau sekolah
- Tiga ditahan kes serangan wanita ketika live dalam kereta
- Pelajar tingkatan tiga maut selepas pamer aksi wheelie
Anwar dihargai, Trump dipuji sebagai pemudah rundingan
Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio berkata negaranya menyambut baik pengumuman gencatan senjata dan mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas kepimpinan Malaysia dalam menganjurkan rundingan.
“Presiden Trump dan saya kekal komited untuk menamatkan konflik ini,” katanya.
Trump sebelum ini dilaporkan memberi tekanan kepada kedua-dua negara dengan menyatakan beliau tidak akan memuktamadkan sebarang perjanjian perdagangan dengan Thailand dan Kemboja sekiranya konflik tidak dihentikan segera.
Hun Manet pula dalam satu hantaran di Facebook menyifatkan hasil rundingan itu sebagai “kejayaan cemerlang” dan mengucapkan terima kasih kepada Anwar, Trump dan kerajaan China atas sokongan mereka dalam menjayakan perjanjian gencatan senjata tersebut.
Selain menghentikan pertempuran yang telah berlarutan sejak 24 Julai lalu dan meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa serta menyebabkan lebih 270,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, kedua-dua negara juga bersetuju untuk menyambung semula talian komunikasi antara pemimpin tertinggi serta membentuk mekanisme pelaksanaan dan pemantauan yang diketuai oleh Malaysia, Kemboja dan Thailand.
Sumber: Free Malaysia Today











