Sikap memandu laju tanpa memikirkan keselamatan akhirnya memakan diri apabila sebuah Toyota Vellfire disita dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, baru-baru ini.
Hasil semakan mendapati kenderaan tersebut mempunyai sebanyak 20 saman aktif yang belum dijelaskan, kesemuanya berkaitan kesalahan memandu melebihi had laju. Lebih membimbangkan, cukai jalan kenderaan itu juga didapati telah tamat tempoh hampir dua tahun.
Rekod pelanggaran yang tinggi itu mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab pemilik terhadap undang-undang jalan raya, sekali gus mendedahkan pengguna lain kepada risiko kemalangan. Tindakan sebegini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan orang awam.
Baca juga:
- Pegawai pertanian Terengganu tersenarai 100 wanita hebat FAO
- Penunggang motosikal magsa nahas BYD masih di HKL, keluarga bimbang pendapatan terjejas
- JAIS sahkan dua individu ditahan kes khalwat babitkan figura awam
Susulan itu, JPJ Kedah mengambil tindakan tegas dengan menyita kenderaan berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut. Pemilik turut diwajibkan melunaskan semua tunggakan saman serta memperbaharui dokumen berkaitan sebelum sebarang pelepasan dipertimbangkan.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan menjelaskan saman yang dikenakan bagi mengelakkan tindakan lebih berat diambil pada masa hadapan.








