Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri GOLD.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bidaan itu akan dibuka mulai Khamis ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sehingga jam 10 malam 5 Februari ini.
“NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks mempunyai prefix siri GOLD, melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50,” katanya.
Tambah beliau, harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan, iaitu bermula daripada RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800), dan nombor biasa (RM300).
“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida, mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.
“Saya berharap bidaan ini dapat menjana pulangan yang tinggi kepada kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penawaran NPI siri GOLD itu adalah antara usaha MOT untuk merealisasikan hasrat kerajaan melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah kementerian itu seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA.
Susulan itu, orang awam dialu-alukan untuk menyokong hasrat kerajaan seperti mana insiatif yang dimaklumkan dengan menyertai bidaan NPI melalui sistem JPJeBid.
Sumber: Berita Harian








