Jemur pakaian dalam rumah, risiko terhadap kesihatan? - The Reporter

Jemur pakaian dalam rumah, risiko terhadap kesihatan?

Jemur pakaian dalam rumah

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Apabila musim hujan dan cuaca mendung, timbul kerisauan sukar untuk mengeringkan pakaian di luar rumah. Salah satu cara adalah dengan menjemur pakaian di dalam rumah.

Namun, percaya atau tidak jika dikatakan cara kita mengeringkan pakaian di dalam rumah juga boleh memberikan kesan pada kesihatan.

Memetik artikel dari Profesor Madya Rebecca A. Drummond, mengeringkan pakaian basah dalam ruang yang kurang pengudaraan boleh meningkatkan pertumbuhan kulat atau kulapuk. Perkara ini juga boleh menjejaskan kesihatan dan dalam kes tertentu boleh membawa maut.

Bagaimana Kulapuk Terbentuk?

“Kulapuk biasanya muncul sebagai tompokan hitam atau hijau pada dinding serta mengeluarkan bau hapak. Pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan masalah kesihatan serius,” katanya.

Kulapuk adalah sejenis kulat yang menghasilkan spora mikroskopik. Ia mudah membiak dalam keadaan lembap dan sejuk, seperti di siling bilik mandi atau dinding yang basah. Antara jenis kulapuk yang biasa ditemui di rumah ialah Penicillium dan Aspergillus, yang mana spora mereka boleh disedut setiap hari.

Sistem imun manusia biasanya dapat menyingkirkan spora ini dengan bantuan sel makrofaj yang bertindak sebagai benteng pertahanan dalam paru-paru. Namun, sesetengah individu dengan sistem imun lemah menghadapi risiko jangkitan kulat yang serius.

Golongan Berisiko

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, fibrosis sista, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), atau sistem imun yang lemah lebih mudah mengalami komplikasi akibat spora kulat.

Bagi penghidap asma, spora boleh mencetuskan tindak balas imun yang berlebihan, menyebabkan radang dan penyempitan saluran pernafasan. Dalam kes lebih teruk, kulat boleh membiak dalam paru-paru dan membentuk jalinan miselium yang menyumbat saluran udara serta menyebabkan pendarahan dalaman.

Langkah Mencegah Kulapuk di Rumah

Walaupun individu sihat jarang mengalami kesan buruk akibat spora kulat, pendedahan berlebihan boleh membawa maut. Contohnya, pada tahun 2020, seorang kanak-kanak, Awaab Ishak, meninggal dunia akibat pendedahan tinggi kepada spora kulat akibat kelembapan melampau dalam rumahnya. Kejadian ini membawa kepada penggubalan undang-undang baharu di UK, iaitu Awaab’s Law, yang mewajibkan tuan rumah menangani masalah kelembapan dengan segera.

Untuk mencegah kulapuk, pastikan rumah mempunyai pengudaraan yang baik, gunakan penyahkelembapan (dehumidifier), atau pertimbangkan rak pengering baju yang dipanaskan bagi mengelakkan kelembapan berlebihan di dalam rumah.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!