'Janganlah kegembiraan kita menjadi kesusahan kepada orang lain' - Dr Zulkifli | The Reporter

‘Janganlah kegembiraan kita menjadi kesusahan kepada orang lain’ – Dr Zulkifli

Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri menyampaikan pesanan kepada peserta RXZ Members 8.0 supaya menjaga keselamatan dan adab ketika menunggang motosikal.
Dr Zulkifli titip pesanan buat peserta RXZ Members 8.0.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri menitipkan pesanan kepada para penunggang motosikal yang menghadiri himpunan RXZ Members 8.0 agar menjaga adab serta menghormati hak pengguna jalan raya.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau mengingatkan bahawa jalan raya bukan sekadar laluan untuk menuju destinasi, tetapi juga medan untuk meraih pahala atau sebaliknya mengundang dosa bergantung kepada tindakan seseorang.

Beliau memetik hadis Rasulullah SAW berkenaan hak jalan yang antaranya menundukkan pandangan, tidak menyakiti orang lain, menjawab salam, menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.

Menurut Zulkifli, antara hak jalan yang paling besar ialah tidak menyebabkan kesusahan kepada orang lain menerusi tindakan yang dilakukan ketika berada di jalan raya.

“Janganlah kegembiraan kita menjadi kesusahan kepada orang lain. Janganlah bunyi motosikal kita menjadi sebab seorang bayi terjaga daripada tidur, seorang pesakit terganggu rehatnya atau seorang warga emas terkejut kerana bunyi yang memekakkan telinga,” katanya.

Baca juga:

Beliau turut menasihatkan penunggang supaya mematuhi undang-undang, tidak berlumba, melakukan aksi berbahaya atau memotong secara berisiko walaupun yakin dengan kemahiran masing-masing.

Dalam masa sama, Zulkifli menggalakkan peserta RXZ Members 8.0 memanfaatkan kehadiran mereka di Terengganu dengan menunaikan solat apabila masuk waktu serta mengunjungi masjid berhampiran tapak perhimpunan.

Beliau turut menyeru peserta menyokong peniaga tempatan dengan membeli produk seperti keropok lekor, cenderamata dan barangan di Pasar Payang atau gerai sekitar kawasan berkenaan.

Selain itu, beliau mengingatkan penunggang supaya menjaga pandangan serta mengelakkan perkara yang boleh membawa kepada fitnah dan maksiat sepanjang perjalanan.

Zulkifli berharap perjalanan setiap peserta RXZ Members 8.0 dipermudahkan serta sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, bukan sahaja membawa kenangan, tetapi turut membawa keberkatan dan rahmat.

Related Posts