Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyentuh kegusaran rakyat terhadap tindakan golongan bukan warganegara yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan tetapi kini dilihat semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.
Baginda bertitah, dalam adat Melayu dan ajaran Islam di bumi Pahang serta Malaysia secara keseluruhannya, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya.
“Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah itu sendiri,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu bertindak tegas, bijaksana dan berhemah berlandaskan undang-undang dalam menangani isu melibatkan bukan warganegara yang ditumpangkan di negara ini.
Baca juga:
- ‘Jangan sampai biduk yang ditumpang, menentukan haluan nakhoda’ – Sultan Pahang
- FAM umum penamatan kontrak Rob Friend, Cklamovski dan Nafuzi
- CEO PSM mengaku tidak bersalah, pertuduhan rasuah projek naik taraf Pusat Skuasy
Baginda bertitah, kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat dipertahankan tanpa ragu, dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan bahawa Islam mengajar umatnya untuk berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan.
“Namun rahmah yang dianjurkan agama tidak pernah bererti kita mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang ditetapkan oleh undang-undang,” titah baginda.
Baginda menegaskan bahawa belas ihsan adalah lambang kemuliaan sesebuah bangsa, namun kedaulatan negeri dan negara merupakan amanah yang tidak boleh digadai.









