Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Amalan memberi dan menerima duit raya sempena Aidilfitri merupakan tradisi yang telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Melayu, khususnya sebagai tanda kegembiraan, kasih sayang dan penghargaan kepada kanak-kanak serta golongan muda. Namun begitu, tradisi tersebut seharusnya dilakukan dengan penuh adab dan kesopanan selari dengan nilai agama serta budaya yang diwarisi.
Pendakwah, Ustazah Asma’ menegur trend terbaharu di media sosial yang memaparkan individu mengambil duit raya sambil berjoget. Beliau menyifatkan perbuatan itu tidak selari dengan adab yang sepatutnya diamalkan ketika menerima pemberian.
Menurut beliau, perbuatan tersebut boleh menyebabkan hilangnya sifat sopan dan rasa malu dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan dewasa.
“Jangan dibuat lagi tahun ini trend ambil duit raya berjoget-joget. Tua muda jadi hilang sopan dan sifat malu,” katanya menerusi satu perkongsian.
Beliau turut mengingatkan bahawa apabila seseorang menerima duit raya, terdapat adab yang sepatutnya dipatuhi sebagai tanda menghargai pemberian tersebut.
“Bila ada yang beri duit raya, ikutlah adab dan adat kita iaitu pertama, salam. Kedua, ucap terima kasih. Ketiga, bersyukur atas rezeki yang Allah beri,” jelasnya.
Baca juga:
- JAWI diarah siasat penggunaan terjemahan ayat al-Quran promosi budaya songsang
- ‘Jangan dibuat trend ambil duit raya berjoget-joget’ – Ustazah Asma’
- ‘Cukup sekadar kongsi gambar pelaku’ – Dr Rozaimi
Mohon perlindungan
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa syaitan sentiasa berusaha memperelokkan perkara maksiat kepada manusia sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah Al-Hijr ayat 39 yang menceritakan janji iblis untuk menyesatkan manusia.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada melakukan perkara yang boleh membawa kepada dosa.
Beliau turut berkongsi doa yang pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW agar dilindungi daripada kejahatan pendengaran, penglihatan, kata-kata, hati dan nafsu.
Titik hitam
Selain itu, beliau turut mengingatkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut bahawa setiap dosa yang dilakukan akan meninggalkan ‘titik hitam’ di hati seseorang.
Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan tentang bahaya perbuatan mendedahkan atau memperlihatkan maksiat secara terbuka kepada orang lain, termasuk melalui perkongsian di media sosial.
Menurutnya, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa setiap umat baginda akan diberi kemaafan kecuali golongan yang secara terang-terangan mendedahkan dosa mereka kepada orang lain.









