Isu ‘koyakkan sos’, kenyataan seorang lelaki cetus perdebatan | The Reporter

Isu ‘koyakkan sos’, kenyataan seorang lelaki cetus perdebatan

Kenyataan 'koyakkan sos' mengundang kecaman kaum hawa
isu yang bermula dengan satu contoh kecil dari Threads bertukar jadi perdebatan panas tentang layanan isteri dan suami

Satu perkongsian di platform Threads oleh pengguna @fareezmohdsith mencetuskan perdebatan hangat apabila beliau memberi peringatan kepada para isteri agar lebih menghargai suami, walaupun dalam hal sekecil ‘koyakkan sos’.

Dalam posting tersebut, Fareez menulis bahawa isteri yang tidak melayan suami dengan baik boleh ‘kalah’ dengan wanita di luar yang tahu mengambil hati lelaki. Fareez memberi contoh rakan sepejabat yang kononnya menolong untuk mengoyakkan sos untuk makan bersama burger sewaktu makan tengah hari.

“Layanlah suamimu walaupun kamu rasa ianya sekecil-kecil perkara tetapi perkara tersebut akan membuat suamimu rasa dihargai dan mereka akan lebih menyayangi isteri,” tulisnya.

Namun, kenyataan itu menyebabkan perdebatan dalam kalangan pengguna wanita yang membalas dengan pelbagai kritikan, menyifatkan kenyataan tersebut sebagai dangkal, merendahkan wanita dan cuba mengalihkan kesalahan ke bahu isteri.

Antara komen yang mencuri perhatian:

“I nampak my mom hari-hari layan ayah. End up ayah still kahwin lain. Jadi jangan nak tuding jari dekat sos lah, bini tak pandai layan lah.”

“Koyak sos pun kau tewas, belum koyak perut nak lahirkan anak kau.”

“Kalau suami saya tergoda dengan perempuan yang koyakkan sos, ambiklah. Saya tak rela hidup dengan lelaki selemah tu.”

Namun, terdapat juga pengguna yang tampil mempertahankan Fareez, menjelaskan bahawa beliau hanya memberi contoh kecil sebagai analogi.

“Ramai gelabah, rilek sudah. Dia cuma bagi seumpama je. Bukan betul-betul pasal sos tu.”

“Dia highlight je benda kecil yang lelaki hargai. Sama macam perempuan suka dapat bunga.”

Fareez sendiri akhirnya tampil memuat naik kenyataan balas yang menyebut bahawa ramai yang terkesan kerana kenyataan itu sebenarnya mencuit isu yang sering diabaikan.

“Alahai ‘hati-hati.. lama-lama akan tewas’ tu nak pancing je, bukannya curang sungguh… ini cuma dari sisi lelaki. Chill ladies,” tulisnya.

Walau apa pun niat asalnya, perbincangan ini membuka ruang untuk refleksi bersama bahawa hubungan rumah tangga bukan sekadar tentang siapa yang mengoyakkan sos, tetapi soal saling menghargai antara suami dan isteri.

Sumber : Threads @fareezmohdsith

Related Posts