Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki dari Sabah meluahkan rasa kecewa selepas ditolak menyewa bilik hanya kerana dirinya berbangsa Kadazan, apabila ejen sewaan mendakwa unit itu hanya untuk “rakyat Malaysia sahaja.”
Insiden itu dikongsikan lelaki berkenaan menerusi Threads menggunakan nama pengguna @kny_sunset__catcher, bersama tangkap layar perbualan dengan seorang ejen bilik sewa.
Berdasarkan mesej yang dikongsi, ejen terbabit meminta lelaki itu mengisi beberapa maklumat peribadi sebelum tiba-tiba menyatakan unit hanya disewakan kepada “rakyat tempatan”, selepas mengetahui dia berbangsa Kadazan.

Walaupun lelaki itu menjelaskan bahawa Kadazan ialah salah satu etnik di Sabah dan merupakan rakyat Malaysia yang sah, ejen tersebut tetap menolak permohonannya. Akhirnya, dia hanya membalas “Nevermind” dan menghentikan perbualan dalam nada kecewa.
Perkongsian itu meraih lebih 1,000 tanda suka dan ratusan komen, dengan ramai netizen menyuarakan rasa marah dan simpati terhadap diskriminasi yang dihadapi warga dari Sabah dan Sarawak.
Seorang netizen menulis, “Dah 2025 pun masih ada yang tak tahu Kadazan tu rakyat Malaysia. Memalukan.”
Isu ini mencetuskan perbincangan hangat mengenai kurangnya kesedaran tentang kepelbagaian etnik dalam Persekutuan Malaysia dan perlunya pendidikan sivik yang lebih inklusif.








