Istilah ‘kuil haram’ tidak wajar, boleh jejas keharmonian masyarakat - Exco Selangor | The Reporter

Istilah ‘kuil haram’ tidak wajar, boleh jejas keharmonian masyarakat – Exco Selangor

Kuil sebagai tempat ibadat yang melambangkan sensitiviti agama dan keharmonian masyarakat majmuk
Isu penggunaan istilah kuil haram perlu ditangani dengan bahasa berhemah demi menjaga keharmonian masyarakat. | Gambar: FB Papparaidu Veraman

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penggunaan istilah berunsur menghukum seperti “kuil haram” atau “tokong haram” ketika merujuk kepada tempat ibadat dilihat berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, khususnya apabila isu tersebut dibincangkan secara terbuka di ruang awam dan media sosial.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman, menegaskan bahawa tempat ibadat tidak boleh dilihat semata-mata sebagai struktur fizikal, sebaliknya mempunyai nilai keagamaan, sejarah serta makna mendalam kepada penganutnya. Justeru, penggunaan label berkonotasi negatif disifatkan tidak wajar dan tidak menghormati sensitiviti agama.

Menurut beliau, dalam konteks negeri seperti Selangor yang bersifat majmuk, kenyataan atau perkongsian tidak bertanggungjawab khususnya di media sosial boleh memburukkan keadaan dan menjejaskan keharmonian sosial. Katanya, pendekatan berhemah dan berhati-hati dalam penggunaan bahasa amat penting bagi mengelakkan isu pentadbiran disalah tafsir sebagai konflik keagamaan.

Baca juga:

Papparaidu turut menjelaskan, sebarang perkara berkaitan status atau pengurusan tempat ibadat berada di bawah bidang kuasa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah serta agensi teknikal. Setiap kes, katanya, dinilai berdasarkan undang-undang, dasar semasa dan pertimbangan sosial setempat.

Tambahnya, banyak kes melibatkan tempat ibadat mempunyai latar belakang sejarah yang panjang dan kompleks, termasuk faktor pembangunan kawasan, pertumbuhan komuniti serta isu pentadbiran tanah. Oleh itu, spekulasi, tekanan terbuka atau pelabelan mengelirukan bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menyukarkan proses penyelesaian yang sedang diusahakan.

Sehubungan itu, orang ramai diseru memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan menyelesaikan isu berkenaan secara profesional, berhemah dan berpandukan undang-undang, selain lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan atau membuat perkongsian di ruang awam.

Kerajaan Negeri Selangor, katanya, kekal komited memelihara keharmonian antara kaum dan agama selaras dengan prinsip Rukun Negara, khususnya Kepercayaan kepada Tuhan.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts