Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar dijadual berlangsung selama tiga hari iaitu pada 22, 23 dan 25 Ogos ini.
Dalam satu laporan, Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, istiadat itu bermula dengan Istiadat Akad Nikah di Istana Abdulaziz pada 22 Ogos.
Menurutnya, keesokkannya pula akan diadakan Istiadat Berinai bagi pasangan pengantin berkenaan.
“Istiadat Bersanding akan diadakan Ahad ini dan semua istiadat akan disiarkan melalui dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan di Tasik KotaSAS.
“Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Tasik KotaSAS sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, semasa majlis perasmian Masjid Al-Falah di Perkampungan Sungai Isap Dua, dan majlis doa selamat sempena Istiadat Perkahwinan Diraja, semalam, baginda menzahirkan rasa terharu dan sukacita ketika bertitah mengenai perkahwinan puterinya Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, yang akan berlangsung pada esok.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, Baginda turut mendoakan istiadat berkenaan berjalan lancar.
“Semoga majlis yang akan diadakan ini berjalan lancar, penuh keberkatan dan diredai Allah SWT serta ikatan perkahwinan yang bakal terbina ini akan kekal hingga ke jannah,” titah baginda.








