Isteri tuntut cerai kerana suami malas mandi & gosok gigi - The Reporter

Isteri tuntut cerai kerana suami malas mandi & gosok gigi

Gambar hiasan (Artificial Intelligence)

Seorang wanita Turki, A.Y. telah memfailkan permohonan tuntutan cerai terhadap suaminya, C.Y., atas alasan lelaki itu tidak menjaga kebersihan diri yang membuatkan dia berasa geli.

Dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Keluarga ke-19 di Ankara, peguam plaintif, Senem Yilmazel berkata, defendan sering memakai pakaian yang sama sekurang-kurangnya lima hari berturut-turut, jarang mandi dan selalu berbau peluh.

Beberapa rakan sekerja C.Y. yang dipanggil menjadi saksi juga mengesahkan dakwaan tersebut. Mereka semua memberikan kenyataan yang mengesahkan C.Y. tidak menjaga kebersihan diri.

Susulan itu, mahkamah meluluskan permohonan tuntutan cerai oleh A.Y.. Malah C.Y. diperintah untuk membayar ganti rugi sebanyak 500,000 lira Turki (RM78,000) kepada bekas isterinya yang terpaksa menanggung ‘derita’ berdepan dengan sikap pengotornya itu.

Menurut Senem, “Pasangan suami isteri seharusnya memenuhi tanggungjawab kehidupan rumah tangga bersama. Jika ada yang tidak tahan dengan tingkah laku pasangan, maka suami atau isteri berhak untuk memohon perceraian. Oleh itu, adalah penting untuk setiap pasangan menjaga kebersihan diri.”

Dalam undang-undang sivil Turki, alasan yang diterima untuk perceraian dibahagikan kepada dua kategori – alasan khas dan alasan umum. Alasan umum termasuk semua alasan yang membuat hidup menjadi tidak tertahan bagi satu atau kedua-dua pihak.

Dalam kes ini, telah terbukti bahawa C.Y. gagal menjaga kebersihan diri dan ini dianggap sebagai alasan yang sah untuk perceraian.

Dokumen mahkamah menunjukkan saksi memaklumkan, C.Y. hanya mandi sekali dalam tempoh 7 hingga 10 hari. Dia juga hanya menggosok gigi sekali atau dua kali seminggu, yang menyebabkan nafasnya berbau.

Beberapa rakan sekerjanya bersetuju untuk menjadi saksi dalam kes ini menyatakan bahawa bau badan C.Y. sangat busuk. Dan pengalaman bertugas bersama C.Y. adalah momen yang sangat menyeksakan.

Sumber: Oddity Central

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!