Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Iran akui kemudahan nuklear Fordow diserang selepas Trump sahkan serangan udara
• Tiga lokasi nuklear Fordow, Isfahan dan Natanz telah dikosongkan sebelum serangan
• Iran dakwa serangan ini berkaitan program nuklear, bukan kempen peperangan besar-besaran
Iran mengesahkan kemudahan nuklear Fordow miliknya diserang dalam serangan udara yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat (AS), beberapa jam selepas Presiden Donald Trump mengumumkan perkara itu di media sosial.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA, memetik kenyataan dari wilayah Qom yang mengesahkan sistem pertahanan udara di kawasan itu telah diaktifkan selepas mengesan beberapa sasaran musuh dan sebahagian daripada tapak Fordow diserang.
Iran kosongkan tapak sebelum diserang?
Laporan dari agensi berita Mehr melaporkan, ketiga-tiga lokasi nuklear yang diserang termasuk Isfahan dan Natanz sebenarnya telah dikosongkan lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga.
Media tempatan turut melaporkan serangan berhampiran tapak di Isfahan dan letupan turut didengari, manakala pertahanan udara Iran dilaporkan melepaskan tembakan ke arah sasaran di kawasan sekitar Fordow dan Isfahan.
Timbalan Gabenor Isfahan, Akbar Salehi, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan berkata, terdapat serangan di sekitar tapak-tapak berkenaan.
Tindakan AS undang kesan buruk
Iran sebelum ini telah memberi amaran mereka akan membalas sekiranya AS campur tangan dalam konflik Israel dan beberapa laporan dari The New York Times menunjukkan Iran telah bersiap sedia dengan peluru berpandu dan kelengkapan ketenteraan untuk menghadapi sebarang serangan dari AS.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi turut memberi amaran tindakan AS akan mengundang akibat buruk kepada semua pihak.
“Saya fikir ini akan menjadi sangat berbahaya untuk semua orang,” katanya dalam satu sidang OIC di Istanbul.
Sumber: 9 News








