'Ini rumah ibadat' -Saravanan minta kerajaan, henti guna istilah 'kuil haram’ | The Reporter

‘Ini rumah ibadat’ -Saravanan minta kerajaan, henti guna istilah ‘kuil haram’

Henti guna istilah 'kuil haram'
Penggunaan istilah ‘kuil haram’ dikatakan menyinggung perasaan penganut Hindu. Gambar: FB Datuk Seri M Saravanan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan hari ini merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengarahkan semua agensi kerajaan menghentikan penggunaan istilah “kuil haram” dalam dokumen dan komunikasi rasmi.

Permintaan itu dibuat selepas Hospital Taiping memberikan maklum balas bertulis terhadap aduan berhubung sebuah rumah ibadat Hindu yang terletak di dalam kawasannya. 

Dalam jawapan rasmi tersebut, pihak hospital menggunakan tajuk “Maklumbalas PCB 965228 – Aduan Kuil Haram”, yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Hindu.

Saravanan menyifatkan penggunaan istilah tersebut sebagai “tidak sensitif” dan menyinggung perasaan penganut Hindu di negara ini, memandangkan banyak kuil berkenaan telah wujud sebelum penggubalan Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.

“Sebahagian besar kuil ini dibina ketika zaman penjajahan British dan Jepun, oleh para buruh India yang bekerja di estet dan sektor pembinaan. Mereka dirikan rumah ibadat di tempat mereka mencari rezeki, atas kelulusan pentadbiran ketika itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa selepas berlakunya perubahan struktur estet, tanggungjawab menyelenggara kuil beralih kepada komuniti tempatan. Akibat proses urbanisasi yang pesat, banyak kuil kini kelihatan berada di tengah pekan walaupun asalnya dibina di kawasan terpencil.

“Melabelkan rumah ibadat sebagai ‘haram’ adalah suatu bentuk penafian sejarah dan menyakitkan hati penganut Hindu yang selama ini hidup secara aman dalam masyarakat majmuk,” tambah bekas menteri sumber manusia itu.

Saravanan berkata, surat rayuan rasmi telah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri pada pagi Jumaat. Beliau berharap kerajaan segera bertindak bagi memperbetul isu penggunaan istilah yang didakwanya boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Isu ini timbul selepas perpindahan kuil berusia 130 tahun, Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur, menjadi perdebatan hangat, sekali gus mencetus persoalan tentang pengiktirafan dan penjagaan terhadap rumah ibadat bukan Islam di negara ini.

Sumber : MalaysiaKini

Related Posts