Baru-baru ini pelawak komediri, Uncle Roger, atau nama sebenarnya, Nigel Ng, membuka restoran di sebuah pusat beli-belah Kuala Lumpur. Semenjak dibuka, restorannya menerima pelbagai reaksi dari netizen dan orang ramai yang telah mencuba makanannya.
Salah seorang pempengaruh makanan popular, Jason (TikTok: @scaredtodie), yang dikenali dengan ulasan jujurnya turut mencuba makanan di premis tersebut.
Dalam video yang dikongsikan di TikTok, Jason menunjukkan suasana di luar restoran di mana orang ramai sudah mula beratur seawal jam 9.55 pagi. Menurut Jason, matlamatnya pada hari itu adalah untuk mencuba hidangan dan harga yang menjadi buah mulut orang ramai di restoran tersebut.
Minuman pertama yang dicubanya adalah minuman yang dikatakan minuman kegemaran Uncle Roger berharga RM10.90. Jason mengakui rasanya unik, tetapi juga memiliki rasa seperti minuman botol dari kedai serbaneka. Sekali gus menjadikan minuman tersebut tidak berbaloi dengan harganya.
Seterusnya, Jason mencuba Nasi Goreng Telur berharga lebih dari RM30 dan mengulas rasanya lebih kurang sama seperti nasi goreng di restoran Cina yang lain, tetapi harga yang dikenakan terlalu tinggi.
Sementara itu, netizen mula mempersoalkan harga hidangan yang dikenakan berbanding restoran lain yang menawarkan makanan lebih baik dengan harga yang munasabah.
Ada beberapa netizen turut meluahkan rasa curiga terhadap pelawak komediri berkenaan yang didakwa memadamkan ulasan negatif di Google, walaupun Uncle Roger mendakwa ia berpunca dari masalah teknikal.
Sumber: Goody Malaysia








