Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Indonesia kini menjangkakan komitmen pelaburan bernilai RM4.6 bilion ($1 bilion) daripada syarikat teknologi gergasi, Apple Inc, dalam tempoh seminggu sebagai usaha memenuhi syarat penjualan iPhone 16 di negara itu.
Larangan terhadap peranti tersebut dikenakan selepas Apple gagal mematuhi syarat penggunaan komponen tempatan, iaitu sekurang-kurangnya 40% bahagian telefon pintar mesti dihasilkan di dalam negara.
Menteri Pelaburan, Rosan Roeslani, berkata pelaburan ini adalah fasa pertama dalam perbincangan bersama Apple untuk menjadikan Indonesia sebagai sebahagian daripada rangkaian pembekal syarikat itu. Beliau turut menegaskan bahawa negara memerlukan pelaburan yang mampu mencipta peluang pekerjaan tempatan.
“Siapa sahaja yang meraih keuntungan daripada jualan produk di sini perlu melabur, mencipta pekerjaan, dan memindahkan rangkaian pembekal ke Indonesia,” katanya seperti dilaporkan oleh Reuters.
Tawaran Pelaburan Sebelum Ini Ditolak
Sebelum ini, Apple telah menawarkan pelaburan sebanyak RM465 juta ($100 juta) untuk membina kilang aksesori dan komponen di Indonesia. Namun, tawaran itu ditolak oleh kerajaan kerana dianggap tidak memenuhi prinsip keadilan.
Kini, Apple merancang untuk membina kilang bernilai RM4.6 bilion ($1 bilion) yang bakal menghasilkan komponen telefon pintar dan produk lain.
Larangan terhadap penjualan iPhone 16 dikuatkuasakan pada Oktober lalu, manakala kerajaan kini merancang untuk meningkatkan lagi keperluan penggunaan komponen tempatan bagi peranti yang dijual di pasaran domestik. Apple bagaimanapun belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan kerajaan Indonesia.
Strategi Sedia Ada Tidak Memadai
Apple tidak mempunyai kilang pembuatan di Indonesia, sebuah negara dengan populasi sekitar 280 juta orang. Namun, sejak 2018, Apple telah membuka akademi pembangun aplikasi di negara itu sebagai langkah untuk memenuhi syarat penggunaan komponen tempatan bagi model iPhone lama. Strategi ini bagaimanapun dianggap tidak mencukupi untuk iPhone 16.
Syarikat yang ingin memenuhi keperluan penggunaan komponen tempatan biasanya bekerjasama dengan syarikat tempatan atau mendapatkan bahan dari pembekal domestik.
Pelaburan besar seperti ini dijangka memberi impak positif kepada ekonomi Indonesia melalui peluang pekerjaan dan pembangunan teknologi tempatan. – Agensi