Suami dibebas, ibu dipanggil bela diri
Tangisan seorang ibu bergema di ruang Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur apabila Hakim memerintahkannya membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak kandungnya, Zayn Rayyan Abdul Matin, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Ismanira Abdul Manaf yang kelihatan sebak memeluk ahli keluarga selepas keluar dari kandang tertuduh, sebaik sahaja prosiding ditangguhkan seketika.
Hakim Dr Syahliza Warnoh dalam keputusannya menyatakan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira. Sebaliknya, suami wanita itu, Zaim Ikhwan Zahari, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan selepas mahkamah berpuas hati bahawa tiada bukti kukuh mengaitkan beliau dengan kes tersebut.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Keterangan bersumpah dari kandang saksi
Ismanira yang berusia 30 tahun memilih untuk membela diri secara bersumpah dari kandang saksi. Kes tersebut berkait dengan dakwaan bahawa pasangan itu telah mengabaikan Zayn Rayyan, seorang kanak-kanak autisme, dalam tempoh antara 5 hingga 6 Disember 2023, di kawasan sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke aliran anak sungai berhampiran lokasi penemuan mayat mangsa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya, manakala pasangan suami isteri itu diwakili barisan peguam bela yang sama.
Sumber: Harian Metro








