Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kisah ibu yang pernah tular kerana keluar menolak stroller jam 3 pagi demi mencari roti untuk anak autisme kini bertukar menjadi tragedi apabila dia dan keluarganya terlibat dalam kemalangan langgar lari.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 2 pagi berhampiran stesen MRT Kampung Selamat, Sungai Buloh.

Menurut adik mangsa, Sharifah Maizatul Syed Mansor, kakaknya kini berada dalam keadaan kritikal, namun sudah mula menunjukkan tanda-tanda pulih.
Dalam perkongsian di media sosial, Sharifah memaklumkan kakaknya telah sedar tetapi perlu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah yang bertakung dalam otak.
“Kakak dah sedar, tapi akan menjalani pembedahan pada otak bila-bila masa hari ini untuk membuang darah yang bertakung.
“Kaki kiri kakak juga patah dan akan dibedah. Keadaannya hari ini kurang baik berbanding semalam,” tulis Sharifah.

Manakala, abang iparnya masih belum sedar dengan tahap kesedaran hanya 9%, jauh lebih rendah daripada tahap normal 15%. Doktor juga mempertimbangkan untuk melakukan intubasi jika keadaan bertambah buruk. Anak pasangan itu pula berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Sharifah turut berkongsi perkembangan terkini bahawa pelaku kemalangan telah tampil membuat laporan polis.
“Alhamdulillah, pelaku telah membuat laporan polis,” katanya.
Sharifah merayu kepada orang ramai yang berada di lokasi kejadian untuk tampil membantu memberikan maklumat bagi melengkapkan siasatan pihak berkuasa.








