Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan individu autisme mengalami kecederaan selepas dipukul oleh rakan sekerja di tempat kerja. Insiden itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian muka, dada, dan tangan, selain hampir pengsan ketika pulang ke rumah.
Dalam hantarannya di Facebook, ibu mangsa, Adra Azura, mendedahkan kejadian itu telah memberi kesan trauma kepada anaknya, Zul, yang sebelum ini tidak pernah terlibat dalam sebarang pergaduhan atau rekod jenayah. Zul telah bekerja di premis tersebut selama hampir empat tahun.
“Kejadian semalam, anak saya telah dipukul oleh rakan sekerja di tempat ekrja sehingga menyebabkan anak saya mengalami luka dan bengkak di bahagian muka, dada dan tangan, serta pulang dalam keadaan hampir pengsan.
“Anak saya tiada rekod jenayah bergaduh dan dipukul oleh orang awam. Dia mengalami trauma disebabkan kejadian ini,” katanya.
Selepas mendapatkan rawatan di hospital, Adra membuat laporan polis bagi mendapatkan keadilan untuk anaknya. Beliau dipanggil ke balai polis untuk memberikan keterangan lanjut dan dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak yang terlibat mungkin akan ditahan reman bagi tujuan siasatan.
Pihak polis turut mencadangkan agar kes tersebut ditarik balik bagi mengelakkan Zul ditahan, memandangkan tiada sel khusus untuk individu OKU. Namun, Adra bertegas agar rakaman CCTV diperiksa untuk memastikan kebenaran dapat dibuktikan.
“Sebagai ibu, hati saya luluh melihat keadaan ini. Adakah anak saya tiada tempat di mata masyarakat?” katanya.
Hantaran Adra di Facebook telah mendapat perhatian ramai, khususnya mereka yang prihatin terhadap hak dan kebajikan golongan OKU di tempat kerja.
Sumber: Facebook Adra Azura