Ibu bapa dan tiga anak rentung dalam kebakaran rumah di Raub | The Reporter

Ibu bapa dan tiga anak rentung dalam kebakaran rumah di Raub

Kebakaran rumah di Raub mengorbankan ibu bapa dan tiga anak selepas kediaman musnah sepenuhnya.
Kebakaran rumah di Raub ragut lima nyawa termasuk tiga kanak-kanak, kediaman musnah 100 peratus | Gambar: Bomba Pahang

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Jalan Ulu Dong, Raub awal pagi tadi meragut lima nyawa dalam satu keluarga, dengan disahkan mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri serta tiga anak mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 pagi itu, sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 40×30 kaki persegi musnah sepenuhnya selepas dijilat api.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi yang terletak 32 kilometer dari balai dan tiba pada jam 4.15 pagi.

Baca juga:

Setibanya pasukan bomba, rumah berkenaan sudah terbakar hampir keseluruhan. Lima individu ditemukan dalam keadaan rentung di dalam kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut sekitar jam 3.35 pagi.

Pasukan Keluaran Operasi BBP Raub menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki bersama dua pancutan air daripada tangki pam jentera bomba bagi mengawal kebakaran. Bantuan turut diterima daripada BBP Lipis membabitkan lima anggota dan operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.48 pagi.

Kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan struktur rumah sebanyak 100 peratus selain memusnahkan enam kenderaan iaitu tiga kereta dan tiga motosikal yang berada berhampiran rumah berkenaan.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Sumber: Buletin TV3, Utusan TV

Related Posts