Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan arahan bahawa tiada sebarang konsert nyanyian akan diadakan di Dataran Shahbandar, dari 5 hingga 8 Februari 2026.
Arahan itu dimaklumkan susulan penularan maklumat di media sosial berhubung penganjuran program hiburan di lokasi berkenaan dalam tempoh tersebut.
Mengulas isu berkenaan, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat memandangkan tempoh penganjuran program berkenaan yang semakin hampir dengan bulan Ramadan.
Memetik laporan Sinar Harian, Wan Sukairi berkata, program selama tiga hari iaitu Rasa Fusion Food Festival yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh sama tetap diteruskan seperti dirancang.
Baca juga:
- Polis siasat kenderaan persendirian guna siren, lampu biru
- Enam murid di Kota Tinggi disahkan hidap Tibi
- Hormat kedatangan Ramadan, konsert di Kuala Terengganu dibatal
Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Peduli Ummah Terengganu menyuarakan bantahan terhadap penganjuran program berbentuk hiburan yang didakwa akan diadakan di Dataran Shahbandar antara 5 hingga 8 Februari. Setiausahanya, Syed Abdul Rahman Syed Hasan, menegaskan pihak penganjur perlu menghormati adab serta kesucian bulan Syaaban dan Ramadan dengan tidak menganjurkan konsert atau program yang boleh melalaikan generasi muda.
“Kalau nak buat konsert sangat, jangan buat di bulan Syaaban. Bila cuba nak cemarkan bulan suci nak masuk bulan Ramadan ni, kami tak akan biarkan. Terengganu bukan tempatnya, mahu berhibur, sila ke tempat lain,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan HyperAct turut mengesahkan pembatalan persembahan mereka yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari 2026 sempena penganjuran Rasa Fusion Food Festival. Dalam satu kenyataan di media sosial, pihak mereka menjelaskan pembatalan dibuat atas sebab-sebab teknikal yang melibatkan urusan dokumentasi dan kelulusan di luar kawalan pihak kami serta penganjur.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang timbul terutamanya buat “saing-saing” di Ganu yang telah merancang untuk hadir,” jelasnya.










