Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Produk penyedut herba (inhaler herba) Hong Thai Formula 2 didapati gagal mematuhi piawaian keselamatan selepas ujian makmal mendapati ia tercemar dengan mikrob, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand.
Dalam satu kenyataan itu, FDA memkalumkan, ujian makmal oleh Jabatan Sains Perubatan mengesahkan bahawa produk berkenaan melebihi had yang dibenarkan bagi Total Aerobic Microbial Count, Total Combined Yeasts and Mould Count, serta pencemaran bakteria Clostridium spp.
Sampel produk itu diambil terus dari lokasi pengeluaran syarikat Hong Thai Commercial Herbal Products.
FDA memaklumkan bahawa produk berdaftar dengan nombor G 309/62 itu tidak mematuhi piawaian ketulenan dan kualiti 2021 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Awam Thailand untuk produk herba berdaftar.
Produk yang terjejas ialah nombor kelompok (batch) 000332, dengan tarikh pengeluaran pada 9 Disember 2024 dan tarikh luput pada 8 Disember 2027.
Baca juga:
- Lelaki pegang rekod dunia nama terpanjang
- Wanita tamatkan 25 tahun perkahwinan lepas suami makan kek anniversary
- 79,000 rakyat tinggalkan Israel, tak nak hidup di negara haram
Amaran kepada pengguna
Pihak FDA memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membeli atau menggunakan produk ini, kerana ia dikategorikan sebagai produk tidak mematuhi standard di bawah Seksyen 60 (2) Akta Produk Herba B.E. 2562 (2019).
Mereka yang menghasilkan produk sedemikian boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum 200,000 baht, manakala peniaga yang menjualnya pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda hingga 50,000 baht.
FDA turut memaklumkan bahawa tindakan undang-undang terhadap pengeluar sedang dipertimbangkan.
Dalam pada itu, Syarikat Hong Thai Herbal mengumumkan penarikan balik produk berkenana. Dalam kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu, Hong Thai memaklumkan bahawa tindakan penarikan balik dilakukan secara sukarela bagi kelompok yang dikenal pasti gagal ujian keselamatan, sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi pengguna.
Menurut syarikat tersebut, ujian dalaman dan semakan lanjut mendapati hanya satu kelompok sahaja terjejas, manakala produk lain di bawah jenama Hong Thai tidak terlibat dan kekal selamat digunakan.
“Hong Thai komited memastikan kualiti dan keselamatan setiap produk kami. Kami sedang bekerjasama rapat dengan FDA untuk menyiasat punca pencemaran dan memperketat kawalan kualiti di kilang pengeluaran,” menurut kenyataan itu.











