Di sebalik populariti video lipsync lagu-lagu nasyid yang sering mencuri perhatian pengguna media sosial, terdapat kisah pengorbanan seorang anak yang memilih untuk kekal di sisi ibunya.
Kisah Nazz Husain mula mendapat perhatian apabila penyanyi kumpulan Inteam, Hazamin, berkongsi pengalaman pertama berhubung dengannya bagi merancang penghasilan video bersama kumpulan Hijjaz di Kuala Lumpur.
Menurut Hazamin, ketika dia mengajak Nazz untuk menjayakan rakaman tersebut, jawapan diberikan lelaki itu cukup menyentuh hati apabila memaklumkan dia tidak dapat meninggalkan Trolak kerana perlu menjaga ibunya.
“Saya tak boleh keluar dari Trolak ni bang, saya kena jaga mak saya. Mak saya tak boleh berjalan ke mana-mana,” katanya seperti dikongsikan Hazamin.

Nazz sebelum ini dikenali menerusi video-video spontan yang memaparkan dirinya melakukan lipsync lagu lama, khususnya lagu-lagu nasyid daripada kumpulan seperti Hijjaz, Inteam, Saujana, Rabbani dan Brothers.
Menariknya, hampir semua kandungannya dirakam hanya sekitar kawasan Felda Trolak Timur, termasuk di kedai runcit, kedai makan, pasar tani, kedai petai dan stesen minyak.
Walaupun kelihatan seperti kandungan biasa, video-video tersebut berjaya menarik perhatian ramai sehingga namanya dikenali dalam kalangan pengguna TikTok.
Difahamkan, Nazz hanya mempunyai masa tertentu untuk menghasilkan kandungan kerana tidak mahu meninggalkan ibunya terlalu lama bersendirian di rumah.
Menurut perkongsian netizen, lelaki itu biasanya merakam video sekitar jam 11 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari sebelum kembali menemani ibunya.
Hazamin turut mengaitkan kisah Nazz dengan teladan Uwais Al-Qarni, seorang tokoh yang dikenali kerana pengorbanannya menjaga ibu sehingga tidak berpeluang bertemu Rasulullah SAW.
Menurut Hazamin, pengorbanan menjaga ibu bapa yang uzur merupakan satu peluang besar yang tidak wajar dilepaskan oleh anak-anak.
“Bertuahlah anak-anak yang diberi peluang dan masa untuk menjaga ibu bapa yang uzur. Jangan lepaskan peluang tiket ke syurga ini,” katanya.








