Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Harga emas terus mencanak naik dan kini mencatat paras tertinggi dalam sejarah, mencecah RM455.62 segram berikutan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Lapor Reuters, peningkatan hampir 3 peratus itu berlaku selepas Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan kenaikan mendadak tarif ke atas barangan import dari China, daripada 104 peratus kepada 125 peratus. Dalam masa sama, tarif terhadap negara lain ditangguhkan buat sementara.
Langkah ini mencetus kebimbangan dalam pasaran global dan mendorong pelabur beralih kepada emas sebagai pelaburan lebih selamat.
Pelabur kembali pilih emas sebagai perlindungan risiko
Dalam dagangan semasa, emas spot naik kepada AS$3,160.82 seauns atau RM454.09 segram, manakala harga tertingginya dicatat pada AS$3,171.49 seauns (RM455.62 segram). Niaga hadapan emas AS pula ditutup lebih tinggi pada AS$3,177.50.
Penganalisis Pasaran Kanan di Tradu.com, Nikos Tzabouras, berkata situasi semasa memperlihatkan emas semakin menjadi tumpuan sebagai aset selamat ketika ketidaktentuan global.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan harga emas boleh kembali turun sekiranya rundingan perdagangan antara AS dan negara lain menunjukkan perkembangan positif.
Dolar lemah, kadar faedah dijangka turun
Mata wang dolar AS pula terus menyusut lebih satu peratus berbanding mata wang utama lain, menjadikan harga emas lebih menarik bagi pelabur antarabangsa.
Data terkini menunjukkan kadar inflasi di AS tidak berubah seperti dijangka, tetapi peningkatan tarif terhadap China dijangka meningkatkan kos pengguna. Ini mencetus spekulasi bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mula menurunkan kadar faedah seawal bulan Jun.
Ketua Pegawai Operasi Allegiance Gold, Alex Ebkarian, berkata permintaan daripada bank pusat serta aliran masuk pelaburan ke dana emas akan terus menyokong lonjakan harga logam berharga ini.
Perak, platinum dan paladium menurun
Sementara itu, tiga logam lain mencatat penurunan kecil:
- Perak: AS$30.88 seauns (turun 0.5%)
- Platinum: AS$932.41 seauns (turun 0.5%)
- Paladium: AS$918.45 seauns (turun 1.4%)








