Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Keputusan siasatan kes yang membabitkan pemain Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim, yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (No Further Action – NFA) mengejutkan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, Selangor FC menyatakan harapan agar Faisal memperoleh keadilan yang sewajarnya.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, menegaskan bahawa pihak kelab tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap pihak berkuasa, walaupun kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai NFA.
Menurut beliau, pihak pengurusan akan terus memberikan sokongan penuh kepada Faisal dalam usaha meneruskan kariernya dalam dunia bola sepak.
“Kami tidak mempunyai sebarang komen lanjut mengenai isu ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi pihak kelab, kami akan terus memberikan sokongan penuh kepada Faisal.
“Kami turut berharap beliau akan mendapat keadilan sewajarnya, Insya-Allah. Kami juga sentiasa mendoakan agar Faisal kembali kepada prestasi terbaik demi kepentingan kelab dan skuad kebangsaan,” katanya.
Terdahulu, Faisal Halim sebelum ini menjadi mangsa simbahan asid dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius termasuk kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian tubuh.
Pada Jun tahun lalu juga, satu sidang media turut diadakan dengan kawalan keselamatan ketat bagi memaklumkan perkembangan terkini keadaan beliau ketika itu.








