Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki dipercayai ejen tarik kereta ditahan selepas tindakannya bersama dua individu lain memberhentikan beberapa kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan dekat R&R Pedas-Linggi hingga mengundang kecaman ramai pengguna jalan raya.
Video kejadian yang tular sejak semalam menunjukkan tiga kereta diparkir secara melintang sehingga menghalang laluan arah selatan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, suspek berusia 50-an itu ditahan di kawasan Seremban kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi. Siasatan mendapati mereka bertindak demikian kerana mahu menarik sebuah kenderaan lain.
Perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan pengguna lebuh raya yang bergerak dalam aliran trafik berkelajuan tinggi. Tindakan yang menghalang kelancaran trafik terutama di lebuh raya adalah sangat serius kerana boleh mendatangkan risiko kemalangan maut.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana menghalang laluan orang awam. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga sebulan atau dikenakan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Polis kini sedang mengesan dua lagi individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim di talian 019-7992519.
Sumber: Harian Metro








