Guru dakwa ibu murid putar belit cerita, padahal anaknya tak hilang pun? | The Reporter

Guru dakwa ibu murid putar belit cerita, padahal anaknya tak hilang pun?

Guru dakwa ibu murid putar belit cerita anak hilang kurang 10 minit
Guru dedah kisah sebenar anak murid yang didakwa hilang, rupanya kurang 10 minit sahaja. | Foto dari FB Mohd Fadli Salleh

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai dakwaan seorang ibu yang dikenali sebagai ‘Mell’ yang mendakwa anaknya ‘hilang’ ketika berada di sekolah.

Kes ini mendapat perhatian ramai apabila ibu tersebut membuat beberapa siaran langsung (LIVE) di platform TikTok, mendakwa guru-guru terlibat tidak bertanggungjawab. Namun, hasil penjelasan daripada guru dan bukti video menunjukkan situasi yang berbeza.

Keluarkan kata-kata kesat

Menurut pendedahan yang dikongsikan oleh Mohd Fadli Salleh, kejadian itu berlaku pada Jumaat, 21 Februari 2025. Ibu kepada murid Tahun 1 itu tiba di sekolah pada jam 5:52 petang dan terus bertanyakan anaknya kepada Teacher Sya, guru kelas anaknya yang sedang menguruskan murid-murid pulang.

Teacher Sya menjelaskan pada waktu terakhir kelas, anak wanita itu berada di bawah pengawasan Cikgu Wan, guru Pendidikan Jasmani yang pertama kali masuk ke kelas tersebut pada hari kejadian. Cikgu Wan bagaimanapun menjelaskan dia tidak mengetahui keberadaan anak murid tersebut dan belum mempunyai kesempatan untuk mengenali murid-murid dalam tempoh yang singkat. Mell kemudian mula mengeluarkan kata-kata kesat terhadap guru-guru yang bertugas.

Beberapa kenyataan daripada hantara yang dimuat naik oleh ibu murid tersebut, dinyatakan dalam LOD | Foto: Facebook Mohd Fadli Salleh

Guru-guru yang lain cuba membantu dengan mencari murid tersebut di kawasan pagar belakang, yang merupakan salah satu daripada dua lokasi keluar yang digunakan oleh sekolah. Setelah menemui murid itu, Teacher Sya berlari mendapatkan murid tersebut dan menyerahkannya kepada ibunya pada jam 6:02 petang. Berdasarkan rakaman video yang diperolehi, tempoh ‘kehilangan’ murid itu hanya kurang daripada 10 minit.

Guru difitnah terima kecaman, ugutan netizen

Walau bagaimanapun, Mell memuat naik video di media sosial, mendakwa anaknya hilang selama setengah jam dan menuduh guru-guru tidak bertindak dengan sepatutnya. Hantaran tersebut menjadi tular apabila seorang guru tuisyen turut berkongsi maklumat dari video tersebut di Facebook sehingga menerima lebih 20,000 perkongsian dalam tempoh kurang 24 jam.

Susulan penularan maklumat yang tidak tepat itu, guru-guru yang terlibat telah menerima kecaman dan ugutan daripada netizen. Malah, gambar mereka turut disebarkan di media sosial. Situasi ini mendorong guru-guru berkenaan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama mereka dan menuntut keadilan terhadap fitnah yang disebarkan.

Mohd Fadli Salleh menegaskan, dakwaan anak ‘hilang’ itu tidak berasas dan banyak fakta yang disembunyikan serta ditokok tambah oleh Mell. Lebih mengeruhkan keadaan, Mell mengheret perkara itu di media sosial termasuk membuat beberapa siri LIVE untuk meraih perhatian netizen. Namun, tingkah lakunya yang melampau dan kata-kata kesat yang digunakan mula menimbulkan keraguan dalam kalangan netizen.

Tuntutan ganti rugi RM500,000

Terdahulu, Teacher Sya telah mengeluarkan notis tuntutan ganti rugi sebanyak RM500,000 terhadap ibu murid yang didakwa menyebarkan fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang guru.

Tuntutan itu turut meminta pemberhentian segala bentuk kenyataan fitnah yang disebarkan di media sosial. Teacher Sya menjelaskan bahawa tindakan ini diambil bagi mempertahankan maruah dan imejnya yang tercemar akibat dakwaan tidak berasas tersebut.

Related Posts