Global Sumud Flotilla kini berada di zon berisiko tinggi | The Reporter

Global Sumud Flotilla kini berada di zon berisiko tinggi

Gambar flotila kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang sedang belayar menuju Gaza, kini memasuki zon berisiko tinggi.
Gambar: Facebook Nadir Al-Nuri

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Global Sumud Flotilla (GSF) menerusi hantaran di Instagram memaklumkan bahawa mereka kini berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi selepas mengesan peningkatan aktiviti dron di kawasan flotila.

Menurut kenyataan itu, beberapa laporan menunjukkan kemungkinan berlakunya pelbagai senario dalam beberapa jam akan datang, sekali gus meningkatkan lagi tahap risiko terhadap keselamatan misi tersebut.

“Kami kini berada dalam keadaan berjaga-jaga. Aktiviti dron semakin meningkat di kawasan flotila. Beberapa laporan menjangkakan senario berbeza bakal berlaku dalam beberapa jam akan datang,” menurut kenyataan rasmi GSF.

Mereka turut menegaskan bahawa flotila tersebut kini telah memasuki zon berisiko tinggi, iaitu kawasan yang sebelum ini pernah menjadi lokasi flotila terdahulu diserang atau dipintas pihak tertentu.

Baca juga:

Selain itu, pempengaruh media sosial dan pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad, turut berkongsi perkembangan melalui voice note kepada pempengaruh media sosial Nynabukaterr.

“Nyna, kapal di hadapan kami telah pun dipintas. Saya masih belum menaiki kapal utama, Alma, tetapi bot-bot serta dron sudah pun mengelilingi kawasan tersebut. Kami sekarang telah melepasi garisan merah yang memang berisiko tinggi.

“Buat masa ini, saya boleh mengemas kini keadaan dari kapal saya yang berada di belakang. Lebih kurang 15 minit lagi kami akan menghampiri lokasi itu. Dalam kumpulan kru juga sudah dibincangkan bahawa intercept sedang berlaku, dan semua kru telah pun diberi amaran untuk bersiap sedia,” katanya.

Misi Global Sumud Flotilla merupakan inisiatif antarabangsa membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, diiringi doa dan sokongan rakyat dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, agar perjalanan mereka dipermudah serta selamat tiba ke destinasi.

Related Posts