Seorang gigolo tempatan berusia 31 tahun direman selama lima hari selepas perbuatannya merakam dan menjual puluhan klip video aksi lucahnya bersama puluhan wanita, termasuk mereka yang mengupahnya untuk mendapatkan khidmat seks, terbongkar di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan awal pihaknya mendapati video tidak senonoh itu telah dilanggan lebih dari 2,600 warga tempatan dalam aplikasi Telegram, di mana mereka perlu membayar yuran langganan bulan sebanyak RM20 dan RM100.
Kesemua pelanggan terbabit merupakan golongan lelaki gersang dan wanita kesunyian yang memiliki kerjaya dalam bidang profesional seperti doktor, usahawan dan sektor korporat.
Siasatan lanjut mendapati, suspek pernah berkahwin dua kali dan bercerai. Dia kemudian mula menjual video tersebut di media sosial sejak Julai 2023. Selain itu, suspek turut mempromosikan ubat kuat dari China menggunakan platform media sosial sejak Januari 2023.
Tidak cukup dengan itu, suspek belajar cara merakam video lucah bersama teman wanitanya untuk meraih keuntungan lebih tinggi dengan menjual video tersebut.
Suspek yang mempunyai latar belakang gigolo juga menawarkan khidmat seks kepada golongan wanita kesunyian.
Bagaimanapun, perbuatan jijiknya itu berakhir selepas suspek ditahan di sebuah rumah di Janda Baik pada jam 2.30 petang semalam, dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
Dua teman wanita suspek berusia 23 dan 27 tahun yang terlibat dalam kegiatan tidak senonoh itu juga ditahan. Sementara beberapa wanita lain yang terbabit sedang dikesan.
Sebanyak lima telefon bimbit milik suspek dan dua teman wanitanya, serta dua kad ATM yang digunakan sebagai akaun langgan, turut dirampas.
Kes disiasat atas kesalahan mempromosi aktiviti seks untuk mendapatkan keuntungan dan kesalahan memiliki bahan lucah, serta menyalahgunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi.
Sumber: Buletin TV3