Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Golongan gelandangan di Kuala Lumpur kini dilapor semakin memilih makanan yang mahu diterima berikutan pemberian makanan yang terlalu banyak daripada NGO dan individu.
Menteri di Jabatan Perdana Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa, berkata lambakan bantuan itu menyebabkan makanan sering dibuang sehingga menjejaskan kebersihan bandar raya.
Menurutnya, pengagihan makanan dilakukan tanpa mematuhi jadual yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sehingga berlaku ketidakteraturan dan pembaziran.
“Ramai gelandangan yang kita jumpa, mereka sekarang memilih makanan sebab terlalu banyak yang memberi,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu, 29 Oktober 2025.
Baca juga:
- Bank Dunia cadang umur keluar KWSP dinaikkan sehingga 70 tahun
- Gelandangan kini semakin ‘memilih’ makanan akibat agihan berlebihan – Zaliha
- Anwar Ibrahim kini tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh dunia 2026
Agihan berpusat di tiga lokasi
Untuk mengawal keadaan, DBKL menetapkan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur Anjung Kembara sebagai pusat agihan rasmi.
NGO berdaftar turut bekerjasama menguruskan agihan di pusat terbabit, selain menyerahkan barangan keperluan harian kepada gelandangan. Setakat ini, lapan NGO telah berkolaborasi di bawah penyelarasan DBKL.
Zaliha menambah, dua pusat transit kini beroperasi di ibu kota dan telah memberi manfaat kepada seramai 4,886 gelandangan, dengan kapasiti yang masih mampu menampung keperluan penghuni.
Pendekatan infrastruktur untuk kurangkan tidur jalanan
Selain penetapan lokasi agihan, DBKL juga sedang meneliti pelaksanaan reka bentuk bandar bagi mengurangkan aktiviti tidur di jalanan tanpa menafikan akses kepada orang awam.
Antara pendekatan yang dikaji termasuk pencahayaan lebih baik, susun atur landskap dan reka bentuk bangku yang tidak sesuai dijadikan tempat baring, selaras amalan bandar utama seperti London, Tokyo dan Singapura.
Zaliha menegaskan, langkah ini dilaksanakan secara berhemah agar ruang bandar kekal mesra pengguna, namun tidak menggalakkan gelandangan terus tidur di ruang awam.
Sumber: Malaysia Gazette
 
			








