Gagal peroleh sokongan undi percaya di Parlimen, Perdana Menteri Mongolia letak jawatan | The Reporter

Gagal peroleh sokongan undi percaya di Parlimen, Perdana Menteri Mongolia letak jawatan

Perdana Menteri Mongolia Oyun-Erdene hanya memperoleh 44 undi percaya di Parlimen
Protes rakyat susulan perbelanjaan mewah anaknya akhirnya menyebabkan Perdana Menteri Mongolia, Oyun-Erdene, meletak jawatan. Gambar: embassyofmongolia

Perdana Menteri Mongolia, Oyun-Erdene Luvsannamsrai meletakkan jawatan awal pagi Selasa selepas gagal memperoleh sokongan mencukupi dalam undi percaya di parlimen.

Memetik NBC News, Oyun-Erdene hanya menerima 44 undi, jauh daripada 64 undi yang diperlukan untuk mengekalkan jawatannya.

Undi percaya ini berlangsung susulan beberapa minggu protes berikutan laporan perbelanjaan mewah oleh anak lelaki Perdana Menteri. Sebahagian rakyat telah mendesak agar beliau berundur.

Sebelum undi dijalankan, Oyun-Erdene memberi amaran bahawa ketidakstabilan politik boleh mengancam demokrasi Mongolia yang masih muda.

“Jika tadbir urus menjadi tidak stabil, keadaan ekonomi merosot, dan parti politik gagal mencapai persefahaman, ia boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem parlimen dan berpotensi menjatuhkan sistem demokrasi kita,” katanya.

Walaupun beliau mempertahankan integritinya, Oyun-Erdene mengakui kesilapan kerana terlalu memberi tumpuan kepada projek besar dan kurang mengambil berat isu sosial serta politik dalaman.

Oyun-Erdene telah memegang jawatan selama empat tahun dan sebelum ini pernah berdepan gesaan untuk berundur tetapi berjaya bertahan.

Tahun lalu, parlimen Mongolia telah diperluas daripada 76 kepada 126 kerusi susulan pembaharuan pilihan raya, yang menyaksikan pembentukan kerajaan campuran.

Terletak di antara Rusia dan China, Mongolia masih bergelut untuk memperkukuhkan sistem demokrasi selepas era pemerintahan komunis semasa Perang Dingin. Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet, negara itu sedang beralih kepada sistem demokrasi.

Para penunjuk perasaan mendakwa kekayaan sumber mineral negara hanya menguntungkan golongan elit dan perniagaan besar, manakala ramai rakyat masih hidup dalam kemiskinan.

Related Posts