Gadis 16 tahun hilang selepas pulang dari sekolah | The Reporter

Gadis 16 tahun hilang selepas pulang dari sekolah

Gambar remaja perempuan 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah
Nur Khalisya

Nur Khalisya, adik kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman, dilaporkan hilang sejak 25 Februari lalu selepas pulang dari sekolahnya di Jalan Peel. Kehilangannya mencetuskan kebimbangan keluarga yang masih menanti sebarang petunjuk mengenai keberadaannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, laporan mengenai kehilangan remaja berusia 16 tahun itu dibuat oleh ibunya pada 25 Februari, jam 11.29 malam. Wanita berusia 44 tahun itu memaklumkan bahawa anaknya keluar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Jalan Peel pada jam 7 pagi dan sepatutnya pulang selepas kelas tarian.

Bagaimanapun, ketika ibunya tiba di sekolah sekitar jam 4 petang untuk menjemputnya, remaja itu tidak kelihatan. Selepas menunggu hampir 40 minit, pengawal keselamatan sekolah memaklumkan bahawa tiada pelajar berada di kawasan sekolah pada waktu tersebut.

Siasatan awal mendapati rakan sekelasnya melihat Nur Khalisya berjalan pulang sendirian dari kawasan taman permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel sekitar jam 5 petang. Sehingga kini, remaja itu masih belum ditemui.

Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Nur Khalisya, yang kali terakhir dilihat memakai t-shirt sukan SMK Convent warna biru, berseluar trek hitam dan bertudung putih. Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Hadin Azman turut berkongsi berita kehilangan adiknya di media sosial dengan harapan lebih ramai pihak dapat membantu mencarinya.

Sumber: Harian Metro

Related Posts