Jenama Farm Fresh sudah tidak asing dalam kalangan masyarakat Malaysia. Jenama berkenaan bukan sahaja menambat hati pengguna tempatan, malahan juga pengguna luar negara.
Susulan itu juga, tidak hairanlah jenama berkenaan telah memperoleh anugerah Brand of the Year bagi kategori tenusu bagi dua tahun berturut-turut.
Khabar gembira itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal menerusi hantaran di Facebook.
“Semalam aku mewakili FarmFresh untuk ambil World Brand Award di Tower of London.
“Ni tahun ke dua berturut turut Farm Fresh dianugerahkan “Brand of the Year” bagi kategori tenusu,” katanya.
Dalam hantaran berkenaan juga beliau menzahirkan penghargaan buat rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong jenama berkenaan.
“Terima kasih pada semua rakyat Malaysia yg terus menyokong Farm Fresh.
“Kami berjanji untuk bekerja lebih kuat lagi untuk mengeluarkan produk yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan terus mengembangkan perniagaan ke seluruh dunia serta memberi pulangan yang baik kepada semua pelabur dan pemegang saham syarikat,” katanya.
Azmi turut memaklumkan selain Malaysia, jenama Farm Fresh kini berada di Australia dan Filipina seterusnya bakal berada di Indonesia.








