Fahmi minta SKMM ambil tindakan terhadap Aliff Syukri - The Reporter

Fahmi minta SKMM ambil tindakan terhadap Aliff Syukri

Walaupun usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri tidak menerbitkan video lagu rayanya tahun ini, tindakannya berkongsi sebahagian video tersebut masih mengundang kemarahan ramai di media sosial kerana mencemari kemuliaan bulan Ramadan.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila Aliff menjadikan perkara itu sebagai bahan jenaka dengan alasan ‘April Fool’ yang jelas sekali tidak wajar dilakukan terutamanya umat Islam.

Akibatnya, ada pemimpin politik yang mula menyeru orang ramai untuk memboikot produk usahawan itu bagi memberi pengajaran kepadanya.

Terkini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan terhadap Aliff.

Menurut Fahmi, tindakan itu dibuat sebagai respon kepada aduan orang ramai yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas susulan penerbitan video yang kurang menyenangkan itu.

“Saya telah menonton sebahagian video yang telah dimuat naik dan saya telah minta SKMM untuk meneliti perkara ini dan mengambil tindakan bersesuaian,” katanya memetik laporan dari Sinar Harian.

Terdahulu, Aliff memuat naik sebahagian video lagu rayanya berjudul ‘Love Raya’ yang menunjukkan beberapa penari lelaki memakai pakaian ketat dan melakukan tarian yang kurang sopan.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!