Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Enam murid di daerah Kota Tinggi disahkan menghidap Tuberkulosis (tibi) hasil daripada saringan kontak rapat, membabitkan empat murid lelaki dan dua murid perempuan. Bagaimanapun, tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan setakat ini kerana penularan wabak berkenaan dikategorikan terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, menegaskan bahawa semua murid terbabit telah diarahkan menjalani kuarantin dan menerima rawatan sewajarnya, selain berada di bawah pemantauan rapi Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi turut mengadakan sesi penerangan kepada pihak sekolah bagi menjelaskan tentang penyakit tibi dan langkah pencegahan yang perlu diambil oleh murid, pendidik, dan ibu bapa.
Baca juga:
- Polis siasat kenderaan persendirian guna siren, lampu biru
- Enam murid di Kota Tinggi disahkan hidap Tibi
- Hormat kedatangan Ramadan, konsert di Kuala Terengganu dibatal
Aznan menekankan bahawa semua sekolah perlu mematuhi garis panduan KKM termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid, dan tindakan susulan yang disarankan. Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih bagi mengelak panik dalam masyarakat.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan 33 kes positif hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu. Satu kematian turut dilaporkan dalam kluster itu, namun bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.
Sumber: Harian Metro









