Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Golongan yang berkemampuan biasanya membeli rumah di kawasan elit dengan harapan untuk menikmati kehidupan yang lebih aman dan eksklusif. Namun, ketenangan yang diimpikan seringkali diganggu oleh pelbagai masalah sosial yang tak terduga, membuatkan kawasan elit itu tidak lagi seindah seperti yang diharapkan.
Baru-baru ini, tular video di media sosial menunjukkan sekumpulan ‘mat rempit’ berkumpul di bulan besar kawasan perumahan Elmina, Sungai Buloh dan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengganggu ketenteraman penduduk, termasuklah perlumbaan motosikal secara haram.
Menurut sumber, kumpulan tersebut kerap memenuhi kawasan itu pada setiap hujung minggu dan cuti umum.
“Setiap hari Sabtu dan Ahad, memang macam ni lah kat roundabout besar Elmina tu. Diorang akan parking keliling situ menghadap jalan. Lelaki perempuan sama naik je. Dah la rata-rata rumah kat Elmina ni RM1 juta ke atas. Mana tak bingit resident. Beli rumah mahal-mahal, tapi rasa macam duduk sebelah Litar Sepang,” ujar penduduk, Edham Othman.
“Satu lagi, diorang suka parking dan kumpul ramai-ramai dekat sidewalk tu. Aku jogging situ, kemudian terpaksa lalu sebab takkan nak lalu jalan besar?
“Ada seorang lelaki itu pandang-pandang aku dan kata, ‘Tengok-tengok awek aku pahal?!’. Aku just jeling dia. Dik, aku pun tak hairanlah awek rambut karat seluar ketat kau tu,” kata seorang lagi penduduk, Kaizuki.
Susulan insiden yang viral ini, pihak pemaju Elmina, Sime Darby Property, telah mengeluarkan kenyataan mereka sedang bekerjasama dengan pihak IPD Shah Alam untuk mengambil langkah membanteras aktiviti tersebut.
“Kami ingin memaklumkan kepada penduduk mengenai gangguan oleh ‘mat rempit’ terutamanya di Elmina West Township. Aktiviti ini semakin meningkat pada hujung minggu dan cuti umum, dan kami memandang serius perkara ini.
“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melaksanakan operasi membanteras aktiviti ini,” menurut kenyataan tersebut.
Pemaju turut menegaskan pihak keselamatan akan melakukan rondaan di kawasan panas bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap kumpulan tersebut.








