Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Sejak beberapa bulan lalu, berlaku beberapa kes kecuaian yang membabitkan kematian kanak-kanak akibat tertinggal dalam kenderaan dalam tempoh masa yang lama.
Susulan beberapa siri kejadian itu, orang ramai mula menyuarakan kebimbangan dan mencadangkan untuk mengharamkan cermin kenderaan gelap sebagai salah satu langkah mencegahkan kejadian seumpama itu berlaku di masa hadapan.
Mengambil kira akan pandangan orang awam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan tersebut telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lanjut.
“…sudah memaklumkan Kementerian Pengangkutan mengenai kerisauan masyarakat susulan peningkatan kes kematian bayi yang ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kenderaan yang antara lain disebabkan cermin kenderaan gelap,” katanya.
Menurut Nancy, beliau sudah berbincang dengan Anthony Loke Siew Fook mengenai perkara tersebut, sama ada cermin perlu diharamkan kerana ia menjadi antara punca kematian bayi ditinggal dalam kenderaan semakin meningkat.
Bagaimanapun jelasnya, penilaian dan keputusan itu hanya akan ditentukan oleh pihak Kementerian Pengangkutan.
Dalam pada itu, Nancy memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa ibu bapa yang melakukan kecuaian tersebut. Kuasa untuk melakukan pendakwaan hanya boleh dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa kes kematian membabitkan kanak-kanak tertinggal dalam kenderaan untuk tempoh lama, berpunca daripada ibu bapa yang terlupa menghantar anak ke pusat asuhan atau taska.
Sumber: Sinar Harian