Dua pelancong warga Sri Lanka mengalami kecederaan selepas berlaku runtuhan struktur bangunan di sebuah premis warisan di Lebuh Armenian, George Town pada Selasa.
Memetik laporan Sinar Harian, kejadian berlaku kira-kira jam 1.11 tengah hari apabila sebahagian batu dan kayu daripada rasuk (beam) di tingkat satu bangunan Poh Thye Hoe yang berusia lebih 81 tahun runtuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 1.17 tengah hari dan mendapati berlaku runtuhan batu serta kayu daripada bahagian rasuk di tingkat satu bangunan berkenaan.
Baca juga:
- Premis di Kulai ditutup selepas Jalur Gemilang, bendera Johor dipasang terbalik
- Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew
- Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands
Beliau berkata, kejadian itu melibatkan dua mangsa warga asing iaitu seorang lelaki berusia 66 tahun dan wanita berusia 55 tahun yang kedua-duanya mengalami kecederaan.
Tambahnya, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut hadir bagi membantu operasi serta memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Operasi menyelamat kemudian tamat pada jam 2.29 petang.








